Berapa kos yuran masuk untuk ke MRSM? Ramai ibubapa yang mengimpikan anak-anak untuk belajar di sekolah yang berprestij dan diketahui antara mendapat keputusan terbaik di dalam peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Antara yang menjadi pilihan, selain daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP) adalah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Ini adalah kerana para ibubapa percaya, MRSM sepertimana SBP mempunyai kemudahan terbaik untuk anak-anak menyambung pelajaran di peringkat Menengah.

Kos Yuran ke Tingkatan 1 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)

Kos Masuk Tingkatan Satu MRSM

Terdapat 55 MRSM di Malaysia - setakat Januari 2023. Kesemua MRSM menerima kemasukan pelajar baharu ke Tingkatan Satu kecuali MRSM Bitara, yang hanya mengambil pelajar tingkatan 4 dan 5.

MRSM Bitara ini termasuklah MRSM Taiping, MRSM Tun Ghafar Baba dan MRSM Pengkalan Chepa. Ada juga MRSM Premier, MRSM Ulul Albab, MRSM IGCSE dan MRSM Teknikal.

Alhamdulillah, anak ketiga saya berjaya terpilih untuk memasuki Tingkatan 1 ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang. Ia antara MRSM pilihan pertama anak saya dalam permohonan kemasukan ke MRSM, walaupun ada MRSM berdekatan dengan rumah iaitu MRSM Transkerian.

Antara perkara yang menjadi kegusaran para ibubapa ialah yuran kemasukan ke MRSM ini. Walaupun umum tahu, MARA mempunyai peruntukan khas untuk menaja anak-anak cemerlang menerusi pemberian biasiswa dan juga pengecualian yuran tertentu, namun bukan semua akan menerima kemudahan ini.


Dan lagi ada beberapa yuran lain yang perlu dijelaskan yang kemungkinan besar para ibubapa perlu mengeluarkan wang sendiri untuk memastikan anak tidak ada masalah memasuki Tingkatan 1 MRSM.

Amnya, Yuran Kemasukan ke MRSM Tingkatan 1 terbahagi kepada beberapa kategori.

  • Yuran Pendaftaran - MRSM mengenakan yuran pendaftaran (berbeza setiap tahun) iaitu sebanyak RM161 (2022-2023). Yuran ini wajib dibayar sebelum tarikh lapor diri/pendaftaran sebagai persetujuan menerima kemasukan ke MRSM.
  • Yuran Koperasi - Jumlah yuran ini berbeza mengikut MRSM. Dalam Yuran ini termasuklah untuk pembelian cadar, sarung bantal, baju batik, t-shirt, kad matrik, planner,, saham koperasi dan yang seumpamanya. Kosnya antara RM300 - RM500.
  • Yuran Dobi - Jumlah yuran ini juga berbeza mengikut MRSM. Ada MRSM yang menyediakan servis dobi 2 kali seminggu dengan had jumlah pakaian tertentu. Ada yang cuma menyediakan servis dobi sekali seminggu terhad untuk pakaian uniform sekolah sahaja. Yuran dikenakan antara RM10-RM30 sebulan - biasanya disekalikan dalam Yuran Koperasi.
  • Yuran Muafakat - Juga berbeza mengikut MRSM dan juga dari segi kategori pendapatan ibubapa. Yuran Muafakat ini adalah sama seperti Yuran PIBG. Biasanya antara RM50 hingga RM200 setahun.
  • Yuran Buku Kerja - Ada sesetengah MRSM mengenakan yuran tambahan seperti untuk pembelian buku kerja khusus. Biasanya antara RM100 - RM150 sekali bayar. Biasanya ia bawah kelolaan guru-guru MRSM itu sendiri.

Ini beberapa contoh yuran MRSM dikenakan dalam kategori Yuran Koperasi untuk tahun 2023:

Yuran Kemasukan MRSM Tingkatan 1

Yuran Kemasukan MRSM Tingkatan 1


Daripada info ringkas di atas mengenai yuran kemasukan ke Tingkatan 1 MRSM, boleh disimpulkan kos kasar untuk yuran kemasukan MRSM adalah antara RM400 hingga RM600. Untuk jumlah yang lebih tepat, ibubapa akan dimaklumkan menerusi email, dan juga whatsapp daripada pihak MRSM tersebut.

Kos Masuk Tingkatan 1 MRSM

Sukacita diingatkan, kos yang saya sebutkan ini tidak termasuk kos tidak langsung seperti kos pembelian baju seragam MRSM yang agak berbeza dengan sekolah menengah yang lain. Pelajar MRSM mengenakan baju seragam berwarna biru dan juga beige/coklat, tudung pula berwarna putih dan hitam 2 lapis. Kos dianggarkan antara RM200 - RM300 (sepasang untuk setiap set) berdasarkan kepada Kedai Ansara dan Shopee. Kos ini juga merangkumi baju t-shirt putih dan tudung serta baju Melayu untuk lelaki.

Ambil kira juga kos untuk kehidupan di asrama, seperti keperluan mandian, penyangkut baju, bantal, ubat-ubatan, baldi dan seumpamanya, anggaran di dalam RM100 - RM200.

Anggaran Kasar Kos Kemasukan ke Tingkatan 1 MRSM - RM1000 - RM2000

Maka, anggaran sebenar kos untuk ke MRSM Tingkatan Satu, termasuk pakaian, kos keperluan di asrama dan yuran wajib adalah sekitar RM1500 - RM2000 paling minima. Kos ini adalah sekali dikeluarkan ketika mula-mula mendaftar sahaja.

MRSM Sedia Kemudahan untuk Kurang Berkemampuan

Bantuan Kewangan MRSM

Buat yang rasa risau mengenai kos-kos ini, insyaAllah ... di pihak MRSM ada disediakan kemudahan untuk penangguhan bayaran terutama yuran wajib, malah ada MRSM tertentu menyediakan pembayaran secara ansuran buat ibubapa yang menghadapi masalah atau beban kewangan. Apa yang diperlukan adalah berhubung dengan pihak pengurusan MRSM untuk kemudahan ini.

Apapun, inilah hakikat dan realiti yang para ibubapa perlu hadapi apabila memilih untuk menempatkan anak ke sekolah yang terbaik untuk anak-anak. Walaupun secara kasarnya dilihat kadar atau kosnya agak tinggi buat ramai ibubapa, namun ia masih dianggap berpatutan jika dibandingkan dengan kos yuran ke sekolah menengah swasta yang memiliki kemudahan pembelajaran yang sama.

Tidak Jauh Beza dengan Kos ke SBP

Kos yuran kemasukan ini tidak jauh bezanya dengan kos untuk kemasukan Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang pernah saya kongsikan sebelum ini - waktu anak sulong saya menerima tawaran ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh.

Saya harap info mengenai kos yuran ke MRSM ini sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran dan secara tidak langsung memperlengkapkan ibubapa dengan dana kewangan yang mencukupi untuk memastikan cita-cita anak untuk berada di MRSM tidak terbantut.

Tahniah buat anak-anak yang berjaya terpilih ke MRSM, mudah-mudahan dengan pengorbanan ibubapa yang terpaksa mencari sumber kewangan ini, akan menyedarkan mereka peri pentingnya untuk belajar lebih tekun, menjadi pelajar terbaik dan seterusnya nanti membanggakan kedua ibubapa.




4 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

  1. Mudah mudahan dpt membantu para ibubpa yg ada masalah kekangan kewangan.

    ReplyDelete
  2. Bagi saya tiada keperluan murid-murid Tkt. 1 - 3 berumur 13 - 15 tahun belajar di sekolah berasrama. Murid-murid ini masih memerlukan perhatian ibu bapa dan tinggal dirumah sendiri. Saya menyokong lebih kepada tkt. 3 - 5 untuk tinggal di sekolah berasrama supaya penuntut tersebut dapat menumpukan pelajaran yang akhirnya meraih kelulusan terbaik dalam SPM. Hanya dengan berbekal SPM terbaik penuntut dapat menaiki tangga kejayaan atau peluang lebih luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

    ReplyDelete
  3. PEMBETULAN : Saya menyokong lebih kepada tkt. 4 - 5 untuk tinggal di sekolah berasrama

    ReplyDelete
  4. Masuk ke sekolah berprestij memberi semangat untuk anak-anak belajar dengan budaya cemerlang..sekolah biasa agak sukar menerapkan budaya cemerlang kerana rata-rata pelajar berbilang kemampuan

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement