Berkebun dalam pasu, bukanlah sesuatu yang pelik. Daripada tanam pokok bunga yang hanya mencantikkan dan mengindahkan laman rumah, lebih baik tanam pokok herba atau sayuran yang boleh berikan hasil. Sebagai seorang house husband yang tinggal di kawasan perumahan, memang sukar nak berkebun di tanah, lebih-lebih jika kediaman memang tak ada tanah yang luas untuk melakukan aktiviti sihat ini.

Alhamdulillah, isteri saya adalah antara mereka yang suka bercucuk tanam. Walaupun sibuk kerja di pejabat (sekarang sambung belajar), dia sempat bercucuk tanam. Dek kerana tiada tanah kebun sendiri, maka aktiviti berkebun terpaksalah dibuat menerusi pasu.

Berkebun Dalam Pasu

Tanam cili api dan cabai dalam pasu
Antara tanaman yang isteri saya tanam menggunakan pasu ialah sawi, bayam, cili api, cabai masak, daun kari, daun pandan, kangkung, limau nipis, dan banyak lagi. Ada yang bertahan lama, ada yang mati selepas keluarkan hasil 2-3 kali. Mana yang membesar, dialih dan ubah pada tanah sekangkang kera yang ada.
Tanam kangkung dalam pasu
Tips berkebun dalam pasu

Faedah dan Manfaat Berkebun dalam Pasu

Nikmat bercucuk tanam dan berkebun ni ada banyak, antaranya:
  • Boleh keluarkan peluh
  • Aktiviti menyihatkan
  • Aktiviti yang boleh dibuat seisi keluarga termasuk anak-anak
  • Boleh rasa dan nikmati hasil tanaman serta sayuran sendiri
  • Boleh berjimat
  • Memastikan sayuran yang dimakan bebas racun
  • Berbudi pada tanam, berbuat baik pada alam, makhluk Allah S.W.T yang lain

Jadi, seandainya anda memikirkan untuk menjadi diri lebih manfaat pada diri, keluarga dan makhluk Allah S.W.T yang lain, maka lakukan aktiviti ini walaupun anda perlu berkebun di rumah flet atau pangsapuri. Jangan kata tak boleh, sebab isteri saya dah buktikan bahawa berkebun dalam pasu boleh dilakukan, dan ia memberikan hasil.
Berkebun Dalam Pasu
Maka, dengan secara automatiknya, saya dipertanggungjawabkan untuk menjaga tanaman yang ada. Kena pastikan ianya dijaga dengan baik, dan in Sha Allah mengeluarkan hasil.

Sekarang, kalau nak makan sayur, hanya petik dan ambil sahaja dari pasu. Dapatlah merasa makan bayam, makan kailan, makan bendi, makan kangkung yang segar-segar; bebas racun. Tak payah susah-susah nak ke Mydin, Econsave, pasar atau nak naik ke Cameron Highlands untuk dapatkan sayur segar. Jimat banyak tu .... :)
Pokok Pandan dan Sayur Manis
Bawang dan kunyit pun boleh tanam dalam pasu. Malah, saya pernah tanam buah Mata Kucing dan buah Ciku dalam pasu. Dapatlah merasa buah-buah tu walaupun hanya sebiji .. hahaha.

Tips Untuk Berkebun dalam Pasu

Sedikit tips untuk berkebun dalam pasu yang boleh saya kongsikan.
  • Siram di waktu pagi dan petang
  • Baja tanaman anda sebulan sekali (jangan banyak)
  • Gemburkan tanam dan letak cacing tanah (1-2 ekor)
  • Jika ada lebihan air beras, siramkan dalam seminggu sekali.
  • Jika nak ambil hasil, gunakan gunting untuk elak pokok rosak
  • Cantas pucuk pokok jika naik atau membesar melebihi bahu badan
  • Gunakan pasu besar, nak lebih jimat .. beli pasu besar yang 2nd hand atau yang lelong
  • Gunakan pelapik jika tumbuhan itu jenis memerlukan air yang banyak seperti kucai, daun bawang
  • Jika tiada pasu, boleh gunakan bekas polisterin, kotak plastik, atau bekas makanan yang dah rosak
Antara tanaman atau sayuran yang boleh ditanam menggunakan pasu:
  • Bayam
  • Kangkung
  • Bendi
  • Daun kari
  • Tomato
  • Kailan
  • Limau Purut
  • Semua jenis cili dan cabai
  • Buah Ciku
  • Buah Kelapa Pandan
  • Buah Mata Kucing
  • Buah Limau
  • Buah Jambu

In Sha Allah, berkebun dalam laman sendiri, dalam pasu tidak akan berikan mudarat; ia boleh dilakukan dan dibuat. Jika ada hasil, kongsikan dengan jiran-jiran anda. Dan mana tahu, mereka juga akan ikut jejak langkah yang serupa. Setidaknya, aktiviti kejiranan dihidupkan dan anda telah menjaga perhubungan anda dengan manusia, hasil perhubungan baik anda dengan alam.

Alhamdulillah.

Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement